Future Students - Information For
Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak merupakan satu-satunya kampus antarabangsa cawangan Universiti Teknologi Swinburne Australia. Ia mula beroperasi di Kuching, Sarawak sejak tahun 2000 dan ditubuhkan atas kerjasama antara kerajaan negeri Sarawak serta Swinburne Australia melalui Badan Pendidikan Tinggi Sarawak.
Sejak penubuhannya, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak telah berkembang dengan pesatnya. Dengan rekabentuk kampus yang unik dan gah, Swinburne Sarawak mempunyai populasi pelajar lebih daripada 3000 orang pelajar dan dijangka akan meningkat kepada 5000 orang pelajar menjelang tahun 2013. Sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa, Swinburne Sarawak mempunyai pelajar daripada lebih 50 buah negara selain Malaysia seperti Bangladesh, Brunei, China, India, Indonesia, Iran, Iraq, Saudi Arabia, Sri Lanka, Vietnam dan lain-lain lagi.
Dengan kedudukan kampus yang strategik dan hanya 15 minit dari pusat bandaraya Kuching, kampus sebesar 16.5 ekar ini menawarkan pelbagai program dari peringkat Pra Universiti, Ijazah, Sarjana Penyelidikan dan Doktor Falsafah (penyelidikan) dalam bidang kejuruteraan, sains, perniagaan, sistem teknologi maklumat, seni reka serta Bahasa Inggeris.
Oleh kerana sukatan pembelajarannya sama dengan Universiti Teknologi Swinburne Australia, pelajar mempunyai pilihan untuk menamatkan pengajian mereka di Swinburne Sarawak ataupun di Swinburne Australia.
Dengan pembiayaan kos pembelajaran yang minima berbanding di Australia, pelajar Swinburne Sarawak akan dianugerahkan kelayakan yang sama dari Swinburne Australia.
Ciri-ciri program Ijazah yang terdapat di Swinburne Sarawak memberi penekanan berteraskan profesional dan penempatan secara langsung dalam industri. Ia berhasrat untuk menjadi sebuah universiti penyelidikan intensif dan pembangunan keupayaan penyelidikan melalui penumpuan kepada bidang yang relevan kepada industri. Dengan itu, program-program yang ditawarkan lebih memberi tumpuan kepada latihan amali untuk menyediakan graduan dalam menghadapi dunia pekerjaan yang sebenarnya. Dengan kemudahan yang kondusif, Swinburne Sarawak menjalankan penyelidikan mengenai keselamatan maklumat, kejuruteraan mekatronik, kejuruteraan perisian, perniagaan serta pendidikan dan e-pembelajaran.
Swinburne Sarawak antara 18 universiti diberi Tahap 5: Cemerlang, iaitu sistem penarafan tertinggi yang dicapai oleh mana-mana universiti, di dalam Sistem Penilaian Agensi Kelayakan Malaysia bagi Pengajian Tinggi (SETARA 2011).